Bangunan PKPP Jalan Gambut 25990 Kuantan Pahang [email protected]

Karnival Asyura Peringkat Negeri Pahang 1447H / 2025M

Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah menyertai serta memeriahkan Karnival Asyura Peringkat Negeri Pahang 1447H / 2025M yang telah diadakan pada 21 Julai 2025 (Isnin) bertempat di Surau Kampung Paya Laman, Lanchang, Pahang.
 
Karnival yang telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail ini berjaya menghimpunkan pelbagai agensi, pertubuhan, dan masyarakat setempat dalam satu suasana penuh kemeriahan dan semangat muafakat. Karnival Asyura yang merupakan program tahunan dalam takwim Kerajaan Negeri Pahang, dilihat sebagai simbolik kepada perpaduan, tolong-menolong dan nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
 
Penyertaan PKPP dalam program sebegini adalah sebagai tanda sokongan terhadap usaha melestarikan warisan budaya Islam, selain mengeratkan hubungan dengan masyarakat kampung serta agensi-agensi berkaitan. Ia juga menjadi platform kepada PKPP mendekati masyarakat sekeliling dan bersama-sama menyemarakkan nilai gotong-royong yang semakin pudar dalam masyarakat moden.
Semoga tradisi yang penuh berkat ini akan terus diwarisi dan dipertahankan oleh generasi akan datang, kerana ia bukan sahaja menyuburkan semangat kerjasama tetapi juga memperkukuh ukhwah yang menjadi tunjang kekuatan masyarakat.