Bangunan PKPP Jalan Gambut 25990 Kuantan Pahang [email protected]

Kunjungan Hormat Kumpulan PKPP ke Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang

Kunjungan hormat Kumpulan PKPP ke Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang telah diadakan pada 16 Disember 2025 bertempat di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang, Indera Mahkota, Kuantan.
 
Kunjungan hormat ini telah diketuai oleh Yang Hormat Dato’ Suhaimi bin Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, bersama Pengurusan Kanan PKPP serta Pengurusan Kanan Anak Syarikat Kumpulan PKPP yang telah disambut oleh Yang Setia Dato’ Mohd Razam bin Taja Rahim, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang beserta pengurusan kanan.
 
Tujuan kunjungan hormat ini adalah bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan Jabatan Bomba dan Penyelamat, khususnya yang melibatkan kelulusan pembangunan projek, keperluan pematuhan aspek keselamatan, serta pengurusan dan pencegahan kebakaran dalam pelaksanaan projek dan operasi Anak Syarikat Kumpulan PKPP. Perbincangan ini penting bagi memastikan setiap pembangunan dan operasi yang dilaksanakan mematuhi sepenuhnya peraturan keselamatan yang ditetapkan oleh jabatan.
 
Selain itu, sesi pertemuan ini turut menjadi platform untuk pertukaran pandangan dan perkongsian maklumat teknikal, sekali gus memperkukuh kefahaman bersama antara kedua-dua agensi dalam aspek keselamatan dan pengurusan risiko kebakaran.
 
Harapan daripada kunjungan hormat ini adalah agar hubungan strategik dan kerjasama erat antara Kumpulan PKPP dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang dapat terus diperkukuhkan, seterusnya menyokong kelancaran pelaksanaan projek pembangunan serta menjamin tahap keselamatan yang tinggi demi manfaat bersama dan kepentingan awam.