Bangunan PKPP, Jalan Gambut, Kuantan [email protected]
Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) terus memperkukuh keupayaan organisasi dalam memastikan pengurusan dan pelaksanaan projek pembangunan awam dilaksanakan secara cekap, sistematik, berintegriti dan berorientasikan hasil menerusi Kursus Pengurusan Projek Pembangunan Awam Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang Tahun 2026.
Kursus yang berlangsung selama tiga hari, bermula 2 hingga 4 September 2026 bertempat di Royal Signature Hotel, Kuala Lumpur, disertai seramai 35 orang Anggota Perkhidmatan Kumpulan PKPP.
Penganjuran kursus ini merupakan antara usaha berterusan PKPP dalam memperkasa pengetahuan, kemahiran dan kompetensi anggota perkhidmatan, khususnya dalam memastikan setiap projek yang dirancang dan dilaksanakan mempunyai asas pengurusan yang kukuh, tersusun serta mematuhi tatakelola dan prosedur yang ditetapkan.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada aspek penting dalam pengurusan projek merangkumi perancangan, perolehan, pemantauan, pengurusan kewangan dan kawalan projek, di samping pematuhan terhadap peraturan serta amalan pengurusan projek yang berkuat kuasa.
Perkongsian ilmu dan pengalaman turut disampaikan oleh barisan penceramah berpengalaman iaitu Encik Ahmad Fikri bin Mohd Fauzi, Puan Yoon Ai Chin dan Encik Yasir Muda bin Azizi daripada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) serta Encik Jeevasuthan A/L George daripada Kementerian Ekonomi.
Majlis Perasmian Penutup Kursus pada 4 September 2026 telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Megat Juhari Shazerin Bin Nazeri, Pengurus Pelaburan Dan Korporat PKPP.
Dalam ucapan penutup, beliau menekankan bahawa pengurusan projek yang cekap, profesional dan berintegriti merupakan elemen penting dalam memastikan setiap perancangan dan peruntukan pembangunan dapat diterjemahkan kepada projek yang berkualiti, mencapai sasaran serta memberi nilai tambah yang optimum kepada organisasi dan kumpulan sasar.
Selaras dengan peranan PKPP sebagai agensi pembangunan dan pelaksana projek, pengukuhan kompetensi ini amat penting bagi memastikan keseluruhan kitaran pengurusan projek, daripada perancangan, perolehan, pelaksanaan, pemantauan sehingga penilaian keberhasilan, dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, telus dan berkesan.
Melalui usaha berterusan memperkasa kompetensi warga kerja, PKPP komited untuk meningkatkan kualiti penyampaian projek, kecekapan pengurusan sumber, akauntabiliti serta keberhasilan pembangunan, sekali gus menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan memberi impak yang bermakna dan manfaat terbaik kepada rakyat.





