Bangunan PKPP Jalan Gambut 25990 Kuantan Pahang [email protected]

Majlis Meraikan Persaraan Yang Hormat Dato’ Hajah Sarwah Binti Mohamed Jusoh

Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah menganjurkan satu majlis bagi meraikan persaraan Yang Hormat Dato’ Hajah Sarwah Binti Mohamed Jusoh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKPP, bertempat di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan pada 18 Disember 2025.
 
Majlis diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas jasa, sumbangan serta dedikasi beliau sepanjang 35 tahun 4 bulan berkhidmat dalam perkhidmatan awam, khususnya dalam memperkukuhkan pembangunan dan tadbir urus yang lebih sistematik di PKPP.
 
Majlis diserikan dengan kehadiran Yang Hormat Dato’ Sri Haji Shahiruddin bin Ab. Moin, yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, selaku Pengerusi PKPP. Turut hadir Yang Hormat Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, Dato’ Suhaimi bin Mohd Yunus, barisan pengurusan tertinggi PKPP dan pengurusan kanan anak-anak syarikat Kumpulan PKPP serta anggota perkhidmatan PKPP.
 
Sepanjang perkhidmatan, Yang Hormat Dato’ Hajah Sarwah telah menunjukkan kepimpinan yang berwibawa, berintegriti serta komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Dengan menggalas tugas sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) telah menyumbang secara signifikan kepada perancangan strategik, pembangunan organisasi, perancangan korporat serta pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi PKPP.
 
Kecemerlangan dan sumbangan beliau turut mendapat pengiktirafan Kerajaan Negeri Pahang apabila dianugerahkan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Kedua (DIMP) pada tahun 2022 yang membawa gelaran Dato’.
 
Majlis turut diisi dengan penyampaian cenderamata, tayangan montaj khas perjalanan kerjaya serta sesi bergambar sebagai kenangan. Keseluruhan majlis berlangsung dalam suasana penuh penghargaan dan penghormatan terhadap jasa serta bakti insan yang diraikan.
 
PKPP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Hormat Dato’ Hajah Sarwah Binti Mohamed Jusoh atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan, serta mendoakan agar beliau sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan kesejahteraan dalam menjalani fasa persaraan.