Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PKPP telah merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Kumpulan PKPP 2025-2029 pada 25 Februari 2025 di Hotel Zenith, Kuantan.
Turut hadir sama Dato' Sri Haji Shahiruddin bin Ab. Moin, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PKPP, Yang Berhormat Dato' Ir. Razali bin Kassim, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah PKPP dan Anak Syarikat Kumpulan PKPP.
Pelan Startegik PKPP merangkumi 5 Teras, 23 Strategi dan 57 Program dengan Visi menjadikan Kumpulan PKPP Ke Arah Pertanian Lestari dan Inklusif Menjelang 2030 dan misi Memperkasa Pertanian Secara Terancang, Bersepadu Dan Holistik Melalui Sinergi Modal Insan, Inovasi, Teknologi Dan Tadbir Urus Yang Mampan.
Tiga Objektif pelan strategik ini adalah:-
* Menambah Nilai Aktiviti Perladangan Kelapa Sawit Untuk Memaksimumkan Pendapatan Kumpulan;
* Menginovasi Aktiviti Pertanian Dan Pelaburan Untuk Keuntungan Tambahan;
* Pengurusan Cekap Dan Berintegriti Untuk Kemakmuran Masyarakat Dan Negeri;
Seramai 250 orang warga kerja Kumpulan PKPP turut hadir bagi mendengar amanat dan pesanan yang mana dalam ucapan perasmian, YAB Menteri Besar menyatakan rasa bangga di atas usaha Pengurusan Kumpulan PKPP menyediakan pelan strategik ini dan berharap segala yang dirancang dapat direalisasikan demi kejayaan Kumpulan PKPP dan kemakmuran Negeri Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif PKPPP, YH Dato’ Suhaimi bin Mohd Yunus di dalam ucapan aluannya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pemegang taruh Kumpulan PKPP iaitu kerajaan Negeri Pahang dan Ahli Lembaga Pengarah yang sentiasa komited dan menyokong semua usaha yang dilaksanakan oleh PKPP di dalam memajukan sektor pertanian. Beliau juga berharap agar semua warga kerja menambahkan usaha untuk membawa Kumpulan PKPP terus maju dan relevan pada masa yang akan datang.
Semoga segala perancangan yang digariskan dalam pelan strategik ini akan menjadikan Kumpulan PKPP sebagai agensi terunggul dalam bidang pertanian khasnya perladangan kelapa sawit di Negeri Pahang.