Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, Yang Hormat Dato’ Suhaimi bin Mohd Yunus, bersama Pengurusan PKPP, Pengurus-pengurus Besar Kumpulan PKPP serta Ahli Jawatankuasa Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK) PKPP telah hadir ke Majlis Penyerahan Bendera PKPP ke Kejohanan MAKSPEN 2025 pada 14 Oktober 2025 di Dewan ILI, Kuantan.
Yang Hormat Dato' Suhaimi telah menyempurnakan penyerahan bendera PKPP kepada Tuan Haji Ahmad Hisham Bin Abdul Halim selaku Ketua Kontinjen PKPP ke Kejohanan MAKSPEN 2025. Penyerahan bendera ini adalah sebagai simbolik penyertaan PKPP dalam temasya sukan dwi tahunan agensi-agensi dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Dalam ucapannya, Yang Hormat Dato’ Suhaimi melahirkan rasa bangga terhadap semangat dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para atlet serta pegawai pengiring kontinjen PKPP. Beliau juga turut menekankan bahawa penyertaan dalam Kejohanan MAKSPEN bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga platform untuk memperkukuh semangat perpaduan, kerjasama berpasukan, dan disiplin kerja dalam kalangan anggota perkhidmatan kumpulan PKPP.
Beliau turut menyampaikan harapan agar kontinjen PKPP dapat menonjolkan semangat juang yang tinggi serta mempamerkan imej anggota perkhidmatan kumpulan PKPP yang produktif, berdaya saing dan berintegriti, sejajar dengan aspirasi korporat PKPP. Selain daripada itu, semua atlet serta pegawai supaya menjaga kesihatan, keselamatan dan pengurusan masa yang terbaik untuk mengelakkan apa jua gangguan yang boleh mempengaruhi emosi bagi persiapan ke Kejohanan MAKSPEN nanti.
Dato’ Suhaimi juga menyeru agar setiap atlet menjadikan temasya ini sebagai peluang membina jaringan persahabatan antara agensi, di samping mengharumkan nama PKPP di peringkat kebangsaan.