Bangunan PKPP Jalan Gambut 25990 Kuantan Pahang [email protected]

Majlis Penyerahan Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Paya Laman, Daerah Temerloh

Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, Yang Hormat Dato' Suhaimi Bin Mohd Yunus, telah hadir ke Majlis Penyerahan Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Paya Laman, Daerah Temerloh, Pahang pada 20 November 2025 di Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah, Putrajaya.
 
Majlis diadakan sebagai simbolik kepada projek yang diamanahkan telahpun siap sepenuhnya oleh PKPP melalui kontraktor yang dilantik iaitu YYM Builders Sdn. Bhd. Projek Pemajuan Kawasan (PPK) merupakan program yang telah bermula sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) adalah satu program pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menyediakan penempatan baru atau menyusun semula kampung sedia ada secara terancang dikawasan luar bandar. Projek ini bertujuan untuk melengkapkan kawasan luar bandar dengan kemudahan asas dan ameniti sosial disamping memastikan pembangunan yang terancang serta bersistematik.
 
PPK Paya Laman, Temerloh ini bermula pada 21 Januari 2021 dan telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada 20 Mac 2025 dengan melibatkan kos keseluruhan peruntukan berjumlah RM18.0 juta. Kemuncak majlis adalah penyerahan dokumen siap kerja Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Paya Laman, Temerloh kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Encik Meor Ismail Bin Meor Akim selaku wakil pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
 
Semoga pelaksanaan PPK ini akan diteruskan dalam setiap Rancangan Malaysia bagi memenuhi teras-teras utama untuk memperkukuh pembangunan masyarakat yang inklusif serta meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat.