Bangunan PKPP Jalan Gambut 25990 Kuantan Pahang [email protected]

Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang

Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah berlangsung pada 12 Disember 2025 di Ibu Pejabat PKPP, Jalan Gambut, Kuantan.
 
Penyerahan zakat bagi tahun 2025 telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, Yang Hormat Dato’ Suhaimi bin Mohd Yunus kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat & Wakaf Pahang (PKZ), Yang Berusaha Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman. Majlis turut dihadiri oleh barisan Pengurusan Tertinggi PKPP serta pihak Pengurusan PKZ, sekali gus menyerikan lagi pelaksanaan tanggungjawab korporat ini sebagai sebuah organisasi milik kerajaan negeri yang komited terhadap pembangunan ummah dan kemakmuran negeri Pahang.
 
Penyerahan zakat perniagaan ini adalah sebahagian daripada komitmen PKPP dalam melaksanakan kewajipan syariah sebagai sebuah entiti perniagaan yang beroperasi berlandaskan prinsip amanah dan kebertanggungjawaban serta sebagai tanda kesyukuran atas hasil dan pencapaian operasi kumpulan PKPP sepanjang tahun.
 
PKPP berharap dengan sumbangan zakat perniagaan ini akan menjadi pemangkin kepada:
1. Pembangunan negeri Pahang, khususnya dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat yang memerlukan;
2. Pengukuhan hubungan strategik antara PKPP dan PKZ dalam agenda membantu masyarakat secara lebih sistematik dan berkesan;
3. Penyuburan budaya integriti dan tanggungjawab sosial korporat dalam kalangan agensi negeri;
4. ⁠Keberkatan dan kelestarian operasi PKPP untuk terus berkembang, seterusnya memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dan negeri.