Satu Majlis Penyampaian Cenderamata Persaraan Yang Hormat Dato’ Hajah Sarwah Binti Mohamed Jusoh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKPP serta Majlis Perasmian Rumah Kelab LCSB Lepar telah diadakan pada 14 Disember 2025 bertempat di Rumah Kelab LCSB Lepar, Pekan.
Majlis telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PKPP sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas jasa serta sumbangan besar Yang Hormat Dato’ Hajah Sarwah Binti Mohamed Jusoh sepanjang tempoh perkhidmatan beliau bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP).
Dalam majlis tersebut, YAB Menteri Besar Pahang telah menyampaikan cenderamata persaraan kepada Yang Hormat Dato’ Hajah Sarwah sebagai tanda penghormatan atas komitmen, kepimpinan serta dedikasi beliau dalam memperkukuh tadbir urus, pembangunan organisasi dan kebajikan anggota perkhidmatan PKPP.
Seterusnya, YAB Menteri Besar Pahang turut merasmikan Rumah Kelab LCSB Lepar, yang diwujudkan sebagai kemudahan strategik untuk kebajikan anggota perkhidmatan LCSB, penganjuran aktiviti kemasyarakatan serta pengukuhan semangat kebersamaan dalam kalangan warga korporat dan komuniti setempat.
Majlis ini bukan sahaja mencerminkan penghargaan terhadap seorang tokoh wanita yang telah banyak berjasa, malah menjadi simbol kesinambungan pembangunan organisasi melalui penyediaan prasarana yang menyokong kesejahteraan dan perpaduan anggota perkhidmatan kumpulan PKPP.