Bangunan PKPP, Jalan Gambut, Kuantan [email protected]
Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah mengadakan Majlis Persaraan bagi meraikan jasa dan bakti Puan Hajah Dahlilah Binti Ramli yang akan menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Penolong Pegawai Tadbir, Gred N7 selepas 21 tahun 3 bulan berkhidmat di organisasi ini. Majlis yang berlangsung di Dewan ILI, Ibu Pejabat PKPP Kuantan pada 22 Jun 2026 ini telah diserikan dengan kehadiran YBrs. Puan Hajah Sharifah Norjannah binti Syed Agil, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKPP bersama-sama barisan Pengurusan Tertinggi PKPP bagi meraikan serta menghargai sumbangan beliau sepanjang perkhidmatan.
Puan Hajah Dahlilah yang berasal dari Temerloh, Pahang (lahir pada 1 Julai 1966) merupakan seorang anggota perkhidmatan yang komited, berdedikasi dan sentiasa menunjukkan prestasi cemerlang dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Sepanjang perkhidmatan beliau, beliau turut menerima pengiktirafan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2020 dan 2025, sebagai bukti kecemerlangan serta integriti yang konsisten dalam tugas.
Tarikh akhir perkhidmatan beliau adalah pada 30 Jun 2026.
PKPP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas segala sumbangan, komitmen dan jasa bakti yang telah dicurahkan oleh beliau. Sumbangan beliau bukan sahaja memberi impak kepada organisasi, malah menjadi contoh teladan kepada warga kerja yang lain.
Seluruh anggota perkhidmatan PKPP mendoakan agar Puan Hajah Dahlilah terus dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan serta kehidupan persaraan yang lebih bermakna dan sejahtera. Terima kasih atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada PKPP.





