Bangunan PKPP, Jalan Gambut, Kuantan [email protected]
Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah mengadakan Majlis Persaraan Wajib Encik Shamsul Akmar Bin Omar pada 6 Ogos 2026 di Dewan ILI, Bangunan PKPP, Kuantan sebagai tanda penghargaan atas jasa, komitmen dan pengorbanan beliau sepanjang lebih dua dekad berkhidmat bersama PKPP.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran YBrs. Puan Hajah Sharifah Norjannah Binti Syed Agil, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKPP, yang turut menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada beliau atas segala sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan di PKPP. Turut serta hadir Pengurusan Tertinggi dan anggota perkhidmatan PKPP.
Encik Shamsul Akmar Bin Omar memulakan kerjaya di PKPP pada 2 Julai 2001 sebagai Pemandu Kenderaan Bermotor Gred R10 dan akan menamatkan perkhidmatan dan bersara wajib pada 9 Ogos 2026 selepas berkhidmat selama 25 tahun 1 bulan. Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau sentiasa dikenali sebagai seorang anggota perkhidmatan yang berdisiplin, berintegriti serta komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Kecemerlangan beliau telah diiktiraf menerusi penerimaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali, iaitu pada tahun 2013, 2016 dan 2024. Selain itu, beliau turut dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) Negeri Pahang pada tahun 2015 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan.
Beliau menamatkan kerjaya sebagai Pembantu Khidmat Am Gred H1, sekali gus mengakhiri satu perjalanan perkhidmatan yang penuh dengan dedikasi, kesetiaan dan semangat kerja berpasukan. Sumbangan beliau sepanjang berada di PKPP akan sentiasa dikenang.
Seluruh anggota perkhidmatan PKPP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Shamsul Akmar Bin Omar atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan. Semoga beliau sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan bersama keluarga serta dipermudahkan segala urusan dalam menempuh alam persaraan.
" Budi Terpahat, Jasa Tersemat"
Selamat bersara dan terima kasih.





