Bangunan PKPP Jalan Gambut 25990 Kuantan Pahang [email protected]

Pembentangan Prestasi Ladang-Ladang (PPL) PKPP 2024

Berdasarkan Pembentangan Prestasi Ladang-Ladang (PPL) PKPP sehingga 31 Ogos 2024 di bawah ketiga-tiga ejen pengurusan ladang yang diadakan pada 29 Oktober 2024, dapat dirumuskan bahawa kesemua ejen pengurusan telah menunjukkan prestasi cemerlang dan peningkatan prestasi yang ketara. Pencapaian ini dapat dilihat melalui pelaksanaan amalan pertanian berkesan yang meningkatkan pengeluaran hasil, faktor peningkatan dan kestabilan harga komoditi sawit yang menyaksikan peningkatan pendapatan/keuntungan selain langkah-langkah kawalan perbelanjaan. Lebih menakjubkan lagi, ada ejen pengurusan ladang yang mencapai prestasi hingga melepasi purata penghasilan peringkat negeri Pahang (11.98 mt/ha) malah semenanjung Malaysia (12.14 mt/ha).
 
Walau bagaimanapun, ketiga-tiga ejen pengurusan ladang berkenaan iaitu LKPP Corporation Sdn. Bhd. (LCSB), PKPP Plantation Sdn. Bhd. (PPSB) dan PKPP Agro Sdn. Bhd. diminta untuk tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa kerana ruang penambahbaikan sentiasa terbuka dan perlu menetapkan sasaran pencapaian yang lebih tinggi setanding pemain-pemain industri perladangan lain yang boleh mencapai purata penghasilan sehingga 25 mt/ha. Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi tujuan ini adalah melalui pelaksanaan latihan yang berterusan di semua peringkat, mengambil tindakan akan nasihat daripada agronomis serta mengambil perhatian dan tindakan hasil teguran pihak audit bagi tujuan penambahbaikan.