Bangunan PKPP, Jalan Gambut, Kuantan [email protected]
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Yang Berusaha Puan Hajah Sharifah Norjannah Binti Syed Agil telah membentangkan Laporan Prestasi Pencapaian Kumpulan PKPP bagi tahun 2025 dan bagi tempoh 01 Januari hingga 30 Jun 2026 dalam Persidangan S-GLC Pahang 2026 yang telah diadakan pada 13 hingga 15 September 2026 bertempat di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands, Pahang.
Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail yang bertemakan “Pahang 1st: Memacu Pertumbuhan, Memperkasa Masa Hadapan”.
Pembentangan yang telah diadakan merangkumi pencapaian dan kejayaan serta tumpuan khusus Kumpulan PKPP dalam memperkukuhkan sektor pertanian negeri terutamanya dalam perladangan kelapa sawit, kebajikan masyarakat dan peserta, kelestarian alam sekitar serta pembangunan komuniti.
Bagi menzahirkan komitmen PKPP dalam menyokong agenda pembangunan dan peningkatan hasil negeri, sejumlah RM30.1 juta telah disumbangkan dalam bentuk sumbangan langsung dan tidak langsung kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Melalui persidangan ini juga, PKPP berharap agar kerjasama strategik yang telah terjalin di antara semua S-GLC Pahang terus diperkukuhkan dalam usaha menjadikan pembangunan negeri terutamanya dalam sektor pertanian terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih kompetitif, berdaya tahan seterusnya memberikan manfaat seluruh rakyat Negeri Pahang.
Persidangan ini juga adalah salah satu platform untuk membuka ruang dan cetusan idea baharu dan mewujudkan kerjasama strategik, sekaligus memperkasa Kumpulan PKPP untuk terus menyumbang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat negeri Pahang.
Tahniah dan syabas juga kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKPP) yang telah dipilih sebagai Tuan Rumah Persidangan S-GLC Negeri Pahang 2027.
Satu pengiktirafan dan amanah besar buat PKPP untuk menganjurkan persidangan yang menghimpunkan barisan kepimpinan serta warga S-GLC Negeri Pahang.





