Perkembangan teknologi dikenal pasti menjadi antara punca gejala sosial termasuk gangguan seksual menjadi semakin berleluasa. Justeru, PKPP mengorak langkah bagi memupuk kesedaran untuk mencegah perkara seumpamanya berlaku yang boleh menjejaskan reputasi organisasi dan maruah individu yang terlibat.
Bertempat di De Rhu Beach Resort Kuantan, PKPP telah mengadakan satu taklimat mengenai gangguan seksual di tempat kerja yang turut dihadiri oleh pengurusan dan anggota perkhidmatan daripada anak-anak syarikat Kumpulan PKPP.
Taklimat telah disampaikan oleh Puan Sharinah binti Abdul Manaf dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara dan Inspektor Nur Aishah binti A. Zulkefli dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.
Kedua-dua penceramah telah berkongsi maklumat mengenai bentuk-bentuk gangguan seksual yang perlu difahami oleh pelbagai peringkat umur dan kedudukan, termasuk langkah-langkah pencegahan dan saluran aduan yang boleh digunakan oleh mangsa.
Majlis ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga kerja terhadap isu gangguan seksual serta mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, hormat dan profesional.






