Bangunan PKPP, Jalan Gambut, Kuantan [email protected]
Yang Berusaha Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKPP, Puan Hajah Sharifah Norjannah binti Syed Agil bersama-sama barisan Pengurusan PKPP telah menghadiri Sesi Pembentangan Prestasi Ladang-Ladang (PPL) PKPP sehingga 31 Ogos 2026, pada 27 Oktober 2026 bertempat di Hotel Ancasa Royale, Pekan.
Sesi ini turut dihadiri Pengurus Besar, Pengurusan Ibu Pejabat serta Pengurus-pengurus ladang daripada tiga ejen pengurusan ladang PKPP, iaitu LKPP Corporation Sendirian Berhad (LCSB), PKPP Plantation Sdn. Bhd. (PPSB) dan PKPP Agro Sdn. Bhd. (PASB).
Pembentangan ini menjadi platform penting untuk menilai pencapaian dan prestasi semasa ladang-ladang kelapa sawit PKPP, di samping membincangkan strategi penambahbaikan serta hala tuju dan perancangan operasi bagi tahun 2027.
Turut diberi perhatian ialah usaha memperkukuh pengurusan dan produktiviti ladang di bawah ketiga-tiga ejen pengurusan, selain menilai prestasi tanaman lain yang berpotensi untuk dikembangkan, termasuk tanaman kelapa, durian dan strawberi.
Semoga segala strategi dan inisiatif yang dirangka dapat diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan bagi meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan potensi aset pertanian serta memperkukuh daya saing Kumpulan PKPP.
Prestasi diperkasa, produktiviti ditingkatkan, kelestarian pertanian diperkukuh ke arah menjadikan Kumpulan PKPP peneraju sektor pertanian dan perladangan kelapa sawit di Negeri Pahang.
Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah menganjurkan Program Pemerkasaan Usahawan Desa PROSPEK Maran Tahun 2026 yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran usahawan dalam pengurusan perniagaan, kewangan, serta pemasaran digital.
Program ini telah diadakan pada 19 hingga 21 Oktober 2026 bertempat di Hotel Primula, Kuala Terengganu dengan kerjasama daripada YBrs. Ustaz Faris bin Mohd Nazri (Tamkeen Training & Consultancy) selaku tenaga pengajar. Selain itu juga, Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan), Tuan Haji Ahmad Hisham bin Abdul Halim.
Peserta telah didedahkan dengan empat modul utama iaitu Asas Perniagaan, Pengurusan Kewangan, Minda Usahawan dan Pemasaran Online, termasuklah penggunaan WhatsApp, Facebook, TikTok dan teknologi AI bagi memperluaskan lagi pemasaran produk sedia ada. Diharap agar ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat diaplikasikan secara berterusan bagi meningkatkan prestasi perniagaan, memperkukuh daya saing serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada usahawan desa.
Tahniah kepada semua peserta. Semoga program ini menjadi pemangkin kepada kejayaan usahawan desa dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang.
YBrs. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKPP, Puan Hajah Sharifah Norjannah binti Syed Agil telah hadir ke Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Wakalah Korporat PKPP kepada 65 orang pelajar asnaf di Dewan Seminar SMK Pelabuhan, Kuantan, pada 9 Oktober 2026.
Pada majlis tersebut, cek sumbangan telah diserahkan kepada Pengetua SMK Pelabuhan, Encik Jamzi bin Othman, untuk manfaat para pelajar yang layak menerima bantuan.
Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan PKPP dalam memperkasa agenda kebajikan masyarakat, khususnya membantu golongan pelajar yang memerlukan sokongan bagi meneruskan perjalanan pendidikan mereka.
Melalui pelaksanaan Zakat Wakalah Korporat, PKPP terus memainkan peranan sebagai pemegang amanah dalam memastikan sumbangan zakat disalurkan secara bersasar, berkesan dan memberi manfaat kepada golongan yang layak.
Semoga sumbangan ini menjadi asbab keberkatan, menyuntik semangat kepada para pelajar untuk terus menuntut ilmu dan melakar kejayaan, serta menjadi amal jariah yang berpanjangan.
Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah menganjurkan Kursus Memperkasa Keberkesanan Lembaga Pengarah dan Tadbir Urus Korporat pada 6 Oktober 2026 bertempat di Impiana KLCC Hotel, Kuala Lumpur.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Ahmad Hisham Bin Abdul Halim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKPP. Manakala, sesi perkongsian ilmu pula disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, Pengarah Program MBA & DBA, Putra Business School, Universiti Putra Malaysia Serdang.
Kursus ini telah disertai oleh 42 orang peserta yang terdiri daripada Pengurusan serta Pengurusan Tertinggi PKPP dan Pengurusan Kanan Kumpulan PKPP, sebagai platform memperkukuh kefahaman dan keupayaan dalam aspek peranan serta tanggungjawab Lembaga Pengarah, tadbir urus korporat, pengurusan risiko, konflik kepentingan, integriti dan akauntabiliti.
Penganjuran kursus ini turut menjadi ruang untuk menilai dan memperkukuh amalan tadbir urus Kumpulan PKPP agar sentiasa relevan, berkesan dan selari dengan amalan terbaik semasa, khususnya dalam mendepani perubahan landskap perundangan, risiko, teknologi serta tuntutan terhadap ketelusan dan akauntabiliti.
Lebih penting, ilmu dan perkongsian yang diperoleh diharapkan dapat diterjemahkan kepada amalan sebenar dalam proses membuat keputusan, pengurusan risiko, pemantauan prestasi dan pengurusan organisasi, sekali gus memperkukuh budaya tadbir urus Kumpulan PKPP.
Kerana tadbir urus yang baik bukan sekadar soal mematuhi peraturan, tetapi merupakan asas dalam memastikan setiap amanah dilaksanakan dengan penuh integriti, setiap risiko diurus secara berhemah dan setiap keputusan dibuat secara telus, bertanggungjawab serta berlandaskan kepentingan terbaik organisasi dan pihak berkepentingan. Tadbir urus yang kukuh akhirnya menjadi pemangkin kepada keyakinan, kelestarian dan kecemerlangan organisasi.
Semoga kursus ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan tadbir urus Kumpulan PKPP, melahirkan kepimpinan yang lebih berintegriti dan berakauntabiliti, serta memastikan setiap keputusan yang dibuat memberi nilai dan manfaat kepada organisasi serta pihak berkepentingan.
Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Lenggong, Perak pada 29 September 2026, yang diketuai oleh Yang Berusaha Tuan Haji Ahmad Hisham bin Abdul Halim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKPP, serta turut disertai oleh Pengurusan Tertinggi PKPP
Lawatan ini merupakan satu inisiatif PKPP untuk mendapatkan pendedahan dan perkongsian pengalaman secara langsung berkaitan pelaksanaan Projek PROSPEK Lenggong, khususnya dalam aspek pembangunan ternakan rusa sebagai produk niche serta pembangunan agro-pelancongan.
Dalam kesempatan ini, PKPP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Koperasi Penggerak Ekonomi Lenggong Berhad serta Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Kecil Lenggong atas kesudian menerima kunjungan PKPP serta berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkaitan pengurusan dan pembangunan projek.
Antara perkara yang menjadi fokus utama penanda aras adalah:
* Konsep dan model pembangunan PROSPEK Lenggong;
* Kaedah pengurusan ternakan rusa sebagai *niche product*;
* Pembangunan produk dan pakej agro-pelancongan;
* Strategi pemasaran serta penjanaan pendapatan;
* Pengurusan aset dan kemudahan projek;
* Penglibatan komuniti serta peserta; dan
* Aspek kelestarian projek untuk jangka panjang.
Lawatan ini memberi nilai tambah kepada PKPP dalam memahami pendekatan pembangunan projek yang menggabungkan sektor pertanian, keusahawanan, pelancongan dan penglibatan komuniti secara lebih bersepadu.
PKPP berharap perkongsian pengalaman dan amalan terbaik yang diperoleh melalui lawatan ini dapat dijadikan sebagai rujukan dan input strategik dalam memperkukuhkan perancangan serta pelaksanaan projek-projek pembangunan PKPP pada masa hadapan.
Semoga jalinan kerjasama dan perkongsian ilmu antara PKPP, PPPNP, Koperasi Penggerak Ekonomi Lenggong Berhad serta agensi berkaitan terus diperkasakan demi melahirkan projek pertanian yang berdaya maju, berimpak tinggi dan mampan, sekali gus memberi manfaat kepada peserta, komuniti setempat serta pembangunan ekonomi negeri.





























