Bangunan PKPP, Jalan Gambut, Kuantan [email protected]
Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen PKPP sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 telah diadakan di Dewan ILI, Kuantan pada 26 Ogos 2026.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKPP, Tuan Haji Ahmad Hisham Bin Abdul Halim yang menyerahkan bendera kepada Ketua Kontinjen, Encik Muhammad Fadzrin bin Mohd Ferhat.
Penyerahan bendera ini melambangkan amanah, kepercayaan dan tanggungjawab yang digalas oleh kontinjen PKPP dalam menyertai perbarisan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Lebih daripada sekadar simbol rasmi, bendera tersebut menjadi lambang kesatuan hati, semangat juang dan iltizam anggota perkhidmatan PKPP untuk membawa nama organisasi dengan penuh maruah serta kebanggaan.
Penyertaan kontinjen PKPP dalam perbarisan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan sebuah acara rasmi, malah mencerminkan semangat patriotisme, perpaduan, kekitaan dan kecintaan anggota perkhidmatan PKPP terhadap tanah air. Setiap langkah yang diatur dan setiap barisan yang dibentuk membawa mesej jelas bahawa anggota perkhidmatan PKPP sentiasa bersedia menyumbang tenaga, menggalas amanah dan berdiri teguh bersama-sama dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan.
Semoga penyertaan kontinjen PKPP pada tahun ini terus menyuntik semangat kebersamaan, memperkukuh jati diri anggota perkhidmatan dan menjadi inspirasi kepada seluruh anggota perkhidmatan PKPP untuk terus berbakti kepada organisasi, negeri dan negara.
YBhg. Dato’ Dr. Roslan Bin Mahmood, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama delegasi telah mengadakan lawatan ke tapak Projek Agrotourism Paya Laka, Rompin pada 18 Ogos 2026.
Turut hadir Pengarah KKDW Pahang, Y.M. Tengku Khairul Zahirah Binti Tengku Kamaludin serta pegawai-pegawai kanan KKDW.
Rombongan telah disambut oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKPP, YBrs. Puan Hajah Sharifah Norjannah Binti Syed Agil, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKPP, YBrs. Tuan Haji Ahmad Hisham Bin Abdul Halim serta Pengurusan Tertinggi PKPP.
Lawatan ini bertujuan menilai kemajuan semasa projek serta meneliti isu-isu pelaksanaan selain memperkukuhkan komitmen pihak berkaitan terhadap pelaksanaan projek.
Sebagai agensi pelaksana, PKPP komited memastikan projek yang dibangunkan melalui peruntukan kerajaan ini bukan sekadar siap dari aspek fizikal, malah dapat dimanfaatkan sepenuhnya, berdaya maju serta memberi impak positif kepada masyarakat dan pembangunan ekonomi setempat.
Lawatan ini turut menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama antara PKPP dan KKDW dalam memastikan Agrotourism Paya Laka dapat beroperasi secara optimum dan mencapai objektif pembangunan yang ditetapkan.
Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah mengadakan Majlis Persaraan Wajib Encik Shamsul Akmar Bin Omar pada 6 Ogos 2026 di Dewan ILI, Bangunan PKPP, Kuantan sebagai tanda penghargaan atas jasa, komitmen dan pengorbanan beliau sepanjang lebih dua dekad berkhidmat bersama PKPP.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran YBrs. Puan Hajah Sharifah Norjannah Binti Syed Agil, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKPP, yang turut menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada beliau atas segala sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan di PKPP. Turut serta hadir Pengurusan Tertinggi dan anggota perkhidmatan PKPP.
Encik Shamsul Akmar Bin Omar memulakan kerjaya di PKPP pada 2 Julai 2001 sebagai Pemandu Kenderaan Bermotor Gred R10 dan akan menamatkan perkhidmatan dan bersara wajib pada 9 Ogos 2026 selepas berkhidmat selama 25 tahun 1 bulan. Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau sentiasa dikenali sebagai seorang anggota perkhidmatan yang berdisiplin, berintegriti serta komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Kecemerlangan beliau telah diiktiraf menerusi penerimaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali, iaitu pada tahun 2013, 2016 dan 2024. Selain itu, beliau turut dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) Negeri Pahang pada tahun 2015 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan.
Beliau menamatkan kerjaya sebagai Pembantu Khidmat Am Gred H1, sekali gus mengakhiri satu perjalanan perkhidmatan yang penuh dengan dedikasi, kesetiaan dan semangat kerja berpasukan. Sumbangan beliau sepanjang berada di PKPP akan sentiasa dikenang.
Seluruh anggota perkhidmatan PKPP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Shamsul Akmar Bin Omar atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan. Semoga beliau sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan bersama keluarga serta dipermudahkan segala urusan dalam menempuh alam persaraan.
" Budi Terpahat, Jasa Tersemat"
Selamat bersara dan terima kasih.
YH. Dato’ Razihan Bin Adzharuddin, Pengarah Pembangunan Negeri Pahang merangkap Ahli Lembaga Pengarah PKPP telah mengadakan Lawatan Healthcheck Projek: Pembangunan Infrastruktur Agro Tourism Paya Laka, Rompin pada 4 Ogos 2026.
YBrs. Tuan Haji Ahmad Hisham Bin Abdul Halim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKPP telah hadir bagi mewakili Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP). Turut serta hadir juga wakil daripada Bahagian Projek Sosial, LKPP Property Sdn. Bhd., PKPP Agro Sdn. Bhd., perunding dan kontraktor.
Lawatan ini bertujuan untuk meneliti perkembangan semasa projek, menilai kemajuan pelaksanaan kerja di tapak serta memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut perancangan, spesifikasi dan tempoh yang telah ditetapkan.
Sepanjang lawatan, taklimat kemajuan projek oleh wakil Pengurus Projek telah disampaikan, di samping sesi pemeriksaan di tapak bagi menilai pelaksanaan semasa. Beberapa perkara berkaitan pelaksanaan projek turut dibincangkan sebagai langkah penambahbaikan dan tindakan susulan bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.
Lawatan ini mencerminkan komitmen PKPP sebagai agensi pelaksana dalam memastikan setiap projek pembangunan yang diamanahkan dilaksanakan secara terancang, berkesan dan mencapai objektif yang ditetapkan, sekali gus menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa pembangunan luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Biro Kebajikan dan Sosial, Kelab Sukan dan Kebajikan Ibu Pejabat PKPP (KESUKIP) atas kejayaan menganjurkan Program Derma Darah "Setitis Darah, Sejuta Harapan" pada 25 Julai 2026 di Berjaya Megamall, Kuantan.
Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 103 orang penderma darah, sekali gus mencerminkan semangat keprihatinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
Setiap titisan darah yang didermakan membawa sinar harapan kepada mereka yang memerlukan rawatan, sekali gus membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.
Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai individu untuk tampil menyumbang demi menyelamatkan nyawa. Bersama-sama kita membudayakan amalan memberi dan menyemai nilai kemanusiaan demi kesejahteraan masyarakat.
Tahniah atas penganjuran dan juga kepada para penderma. Setitis darah yang didermakan hari ini mampu membawa sejuta harapan buat insan yang memerlukan.





























