Bangunan PKPP, Jalan Gambut, Kuantan [email protected]
Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah menganjurkan Kursus Pemantapan Pentadbiran Tanah PKPP 2026 pada 24 hingga 26 Jun 2026 di Wyndham Ion Majestic Hotel, Genting Highlands, melibatkan penyertaan seramai 33 anggota perkhidmatan daripada pelbagai gred perkhidmatan PKPP.
Majlis perasmian dan penutupan kursus telah dirasmikan oleh YBrs.Tuan Haji Ahmad Hisham Bin Abdul Halim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKPP.
Kursus ini dianjurkan bagi memperkukuhkan kompetensi pegawai dalam aspek pentadbiran tanah yang merupakan elemen penting dalam pengurusan aset dan pembangunan PKPP. Melalui perkongsian ilmu oleh Encik Ahmad Zahairi bin Alias, Penolong Pegawai Tanah, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang dan Puan Norehan binti Muslim, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Perancangan, PlanMalaysia Pahang, peserta telah didedahkan kepada aspek perundangan tanah, prosedur kerja, pengurusan rekod serta tadbir urus yang berkesan.
Penganjuran kursus ini diharapkan dapat melahirkan anggota perkhidmatan yang lebih kompeten, berintegriti dan berpengetahuan dalam pengurusan tanah, seterusnya memperkukuhkan tadbir urus organisasi serta menyokong aspirasi PKPP ke arah yang lebih cemerlang.
Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah mengadakan Majlis Persaraan bagi meraikan jasa dan bakti Puan Hajah Dahlilah Binti Ramli yang akan menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Penolong Pegawai Tadbir, Gred N7 selepas 21 tahun 3 bulan berkhidmat di organisasi ini. Majlis yang berlangsung di Dewan ILI, Ibu Pejabat PKPP Kuantan pada 22 Jun 2026 ini telah diserikan dengan kehadiran YBrs. Puan Hajah Sharifah Norjannah binti Syed Agil, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKPP bersama-sama barisan Pengurusan Tertinggi PKPP bagi meraikan serta menghargai sumbangan beliau sepanjang perkhidmatan.
Puan Hajah Dahlilah yang berasal dari Temerloh, Pahang (lahir pada 1 Julai 1966) merupakan seorang anggota perkhidmatan yang komited, berdedikasi dan sentiasa menunjukkan prestasi cemerlang dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Sepanjang perkhidmatan beliau, beliau turut menerima pengiktirafan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2020 dan 2025, sebagai bukti kecemerlangan serta integriti yang konsisten dalam tugas.
Tarikh akhir perkhidmatan beliau adalah pada 30 Jun 2026.
PKPP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas segala sumbangan, komitmen dan jasa bakti yang telah dicurahkan oleh beliau. Sumbangan beliau bukan sahaja memberi impak kepada organisasi, malah menjadi contoh teladan kepada warga kerja yang lain.
Seluruh anggota perkhidmatan PKPP mendoakan agar Puan Hajah Dahlilah terus dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan serta kehidupan persaraan yang lebih bermakna dan sejahtera. Terima kasih atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada PKPP.
Program Sentuhan Rakyat Makmur Negeri Pahang 2026 peringkat Daerah Bera telah diadakan pada 18 Jun 2026 bertempat di Dewan Orang Ramai Felda Triang 1, Bera, Pahang Darul Makmur.
Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Nazri bin Abu Bakar yang juga Ahli Lembaga Pengarah PKPP telah merasmikan sesi Flag Off di hadapan Dewan Orang Ramai Felda Triang 1 pada jam 9:00 pagi.
Ketua Audit Dalam PKPP, Puan Hajah Sophina Binti Muhammad Safian mewakili Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah menziarahi dan menyantuni sebelas (11) keluarga di dalam Program Ziarah Makmur peringkat Daerah Bera.
YBrs. Puan Hajah Sharifah Norjannah Binti Syed Agil, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKPP telah mewakili Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) menerima Anugerah Inovasi Jabatan sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1448 Hijrah/2026 Masehi yang berlangsung pada 17 Jun 2026 di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan, Lipis.
Anugerah tersebut telah dikurniakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Penganugerahan ini turut mencerminkan penghargaan terhadap komitmen berterusan PKPP dalam memperkasa pembangunan Islam di Negeri Pahang melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat. Antara sumbangan utama PKPP ialah pembangunan infrastruktur dan kemudahan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) di Mukim Sungai Karang, Kuantan, pewakafan bangunan dan tanah MTTNP seluas 10,760 meter persegi kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), serta pewakafan sebahagian tanah di Mukim Chini, Pekan seluas 0.809 hektar bagi tujuan pembinaan masjid. PKPP juga telah melakar sejarah sebagai agensi Kerajaan Negeri Pahang yang pertama melaksanakan pewakafan tanah kepada MUIP.
Selain itu, PKPP turut menyalurkan sumbangan tahunan berjumlah RM1 juta kepada MTTNP dan MTTNP Cawangan Lipis, melaksanakan sumbangan Ramadan tahunan kepada masjid-masjid dan surau-surau di bawah rancangan sosial PKPP serta mengagihkan zakat wakalah kepada golongan yang layak. Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PKPP dalam menyokong pembangunan ummah, memperkukuh institusi Islam dan menyantuni masyarakat di Negeri Pahang.
Penganugerahan ini merupakan satu penghormatan dan penghargaan yang amat bermakna kepada PKPP atas komitmen berterusan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menyokong agenda pembangunan Negeri Pahang. Pengiktirafan ini mencerminkan kepercayaan terhadap peranan PKPP sebagai agensi pembangunan negeri yang sentiasa berusaha menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab sosial demi kesejahteraan rakyat.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk PKPP terus memperluas manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan negeri yang inklusif, mampan dan sejahtera.
Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh anggota perkhidmatan PKPP atas pengiktirafan yang membanggakan ini.
YBrs.Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKPP, Puan Hajah Sharifah Norjannah Binti Syed Agil telah hadir bersama-sama Pengurusan Tertinggi PKPP ke Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PKPP 2025 pada 15 Jun 2026 bertempat di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.
Majlis APC 2025 menyaksikan seramai 22 anggota perkhidmatan PKPP daripada pelbagai gred menerima pengiktirafan atas kecemerlangan prestasi, komitmen tinggi serta sumbangan signifikan yang telah diberikan kepada organisasi sepanjang tahun penilaian.
Penganjuran APC merupakan manifestasi penghargaan PKPP terhadap anggota perkhidmatan yang telah menunjukkan komitmen tinggi, dedikasi luar biasa serta prestasi cemerlang dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Pengiktirafan ini bukan sahaja meraikan pencapaian individu, malah menjadi pemangkin kepada pembudayaan kecemerlangan, profesionalisme dan prestasi kerja yang lebih gemilang dalam kalangan anggota perkhidmatan PKPP.
Semoga pengiktirafan yang diberikan menjadi inspirasi kepada seluruh anggota perkhidmatan untuk terus berusaha, bermotivasi dan menyumbang ke arah kecemerlangan organisasi serta merealisasikan aspirasi PKPP.
Setinggi-tinggi Tahniah kepada semua penerima APC 2025. Semoga pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk terus melakar kejayaan, memperkukuh budaya kerja cemerlang dan menjadi inspirasi kepada seluruh warga PKPP dalam memacu kecemerlangan PKPP.





























