Bangunan PKPP, Jalan Gambut, Kuantan [email protected]
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PKPP terus menyantuni masyarakat apabila telah menyumbangkan sebuah kerusi roda elektrik kepada Puan Rosidah Binti Mat Isa, iaitu generasi kedua peserta Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK) Peruang, Lipis pada 12 Mei, 2026.
Sumbangan telah diserahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKPP, Yang Berusaha Tuan Haji Ahmad Hisham Bin Abdul Halim di kediaman penerima. Program ini juga merupakan inisiatif serta kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) RPSK Peruang dalam membantu meringankan beban serta menjaga kebajikan penduduk setempat.
Turut hadir sama ialah Pengurus Penyelidikan dan Pemantauan PKPP, Puan Hajah Noor Lili Binti Mohd Amin, Pengurus Kewangan PKPP, Puan Hajah Hasna’ Binti Mohamad Taib serta Pengurus Projek Sosial PKPP, Encik Muhammad Asyraf Bin Md Nazir.
Semoga sumbangan ini dapat memberi manfaat dan kemudahan kepada penerima, sekali gus mencerminkan komitmen yang berterusan serta konsisten PKPP bersama Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh agenda kebajikan rakyat serta kesejahteraan komuniti luar bandar.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKPP, Yang Berusaha Tuan Haji Ahmad Hisham Bin Abdul Halim telah mengetuai lawatan khas ke Ladang PKPP Paloh Hinai dan Ladang PKPP Sri Jelutong, Pekan yang berada dibawah ejen pengurusan PKPP Agro Sdn.Bhd.(PASB) pada 6 Mei 2026.
Lawatan ini juga bertujuan:
* Melihat perancangan perlaksanaan program tanam semula PASB; dan
* Mengenalpasti isu-isu semasa di ladang serta kaedah-kaedah penyelesaian.
* Menjalinkan hubungan erat antara Pengurusan Tertinggi PKPP dengan Pengurusan PASB.
Selesai sesi pembentangan, Pengurusan telah dibawa melawat kawasan-kawasan tanam semula serta inisiatif-inisiatif ladang yang telah dilaksanakan.
Semoga hasil daripada lawatan ini agar segala cadangan dan perancangan oleh PASB dapat dilaksanakan secara lebih berkesan terutama dalam peningkatan hasil ladang, disamping mengenal pasti serta dapat menyelesaikan isu dan masalah yang timbul bagi memastikan operasi ladang lebih produktif.
Majlis Anugerah Ladang (MAL) Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) Tahun 2025 telah diadakan pada 16 April 2026 di Swiss Belhotel, Kuantan.
MAL merupakan acara tahunan bagi memberi penghargaan serta pengiktirafan kepada individu dan ladang-ladang yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2025.
Sebanyak lapan kategori dipertandingkan iaitu:
1. Anugerah Peningkatan Hasil Terbaik;
2. Anugerah Inisiatif dan Usaha Terbaik;
3. Anugerah Prestasi Kewangan Terbaik;
4. Anugerah Pengurus Harapan;
5. Anugerah Pengurus Terbaik;
6. Anugerah Ladang Harapan;
7. Anugerah Ladang Terbaik dan;
8. Anugerah Khas Juri.
Majlis telah disempurnakan oleh Y.Brs.Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKPP, Puan Hajah Sharifah Norjannah Binti Syed Agil.
Turut hadir sama Pengurusan Tertinggi PKPP, Pengurus Besar-Pengurus Besar serta Pengurus-pengurus ladang dari tiga ejen pengurusan ladang kelapa sawit PKPP.
Tahniah kepada semua pemenang anugerah di Majlis Anugerah Ladang (MAL) PKPP bagi tahun 2025.
Semoga majlis ini menjadi medium ukhwah yang berkekalan antara keluarga Kumpulan PKPP dan semoga dengan kemenangan ini akan senantiasa menyuntik semangat anggota perkhidmatan Kumpulan PKPP untuk terus menyumbang bagi menjadikan Kumpulan PKPP sebagai agensi terunggul dalam bidang pertanian khasnya perladangan kelapa sawit di Negeri Pahang.
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Kampung Angkat Berpotensi Negeri (BN) Pahang 2026 bagi DUN Jenderak telah diadakan pada 11 April 2026 bertempat di Pekan Kuala Krau, Temerloh anjuran Yang Berhormat Dato’ Rodzuan bin Zaaba, ADUN Jenderak merangkap Ahli Lembaga Pengarah PKPP.
Majlis sambutan ini lebih meriah dan bermakna dengan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang merangkap ADUN Kerdau serta Yang Hormat Dato’ Sri Shahiruddin bin Ab. Moin, Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKPP, Puan Hajah Sharifah Norjannah binti Syed Agil mengiringi ADUN Jenderak bagi menyampaikan sumbangan kepada penduduk DUN Jenderak yang layak. Sejumlah 50 set bakul makanan dan 40 set peralatan persekolahan telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan kerajaan negeri (SGLC) dalam meringankan beban rakyat serta menceriakan sambutan Aidilfitri.
Program sambutan Aidilfitri dan penyampaian bantuan ini turut menyokong usaha memperkasa komuniti luar bandar melalui aktiviti sosio-ekonomi, pembangunan keusahawanan serta peningkatan modal insan, sekali gus merapatkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar.
Semoga program seumpama ini dapat diteruskan secara konsisten agar rakyat negeri ini mendapat peluang untuk berdamping dengan lebih dekat dengan pimpinan peringkat negeri serta SGLC yang terlibat.
Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) melalui Kelab Sukan Dan Kebajikan Ibu Pejabat PKPP (KESUKIP) telah menyertai cabaran MARA LASAK PAHANG 2.0 pada 5 April, 2026 bertempat di Felda Chini, Pekan, Pahang.
Cabaran PKPP telah digalas oleh 10 Anggota Perkhidmatan PKPP yang dibarisi oleh 7 Anggota Perkhidmatan lelaki dan 3 Anggota Perkhidmatan wanita yang mempamerkan kecekalan serta kesungguhan yang luar biasa dengan menamatkan cabaran dibawah masa yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur iaitu 3 jam 33 minit 48 saat.
Program anjuran Majlis Rekreasi Pahang (MRP) dengan sokongan Kerajaan Negeri Pahang ini bertujuan memupuk gaya hidup sihat serta memperkukuh daya tahan mental dan fizikal dalam kalangan masyarakat.
Dalam menamatkan cabaran yang telah ditetapkan oleh penganjur, setiap pasukan perlu melalui cabaran berikut:
• Larian Berbeban: Berlari sambil membawa bebanan seberat 5 kilogram .
• Laluan Denai: Menelusuri trek hutan dan denai sejauh 15 kilometer yang mencabar.
Kejayaan berbekalkan disiplin yang tinggi, kerjasama erat, serta sikap saling menyokong antara satu sama lain adalah kunci utama dalam menghadapi cabaran fizikal dan mental yang hebat.
Semoga pencapaian ini akan menjadi pemangkin inspirasi untuk terus melakar kecemerlangan dan menyemarakkan semangat juang dalam menghadapi sebarang cabaran di masa hadapan serta kecemerlangan PKPP.
Syabas dan Tahniah kepada pasukan MARA LASAK PAHANG 2.0 PKPP.





























